• Register
Saya mengandung tapi belum nikah
PDF
Print
E-mail
Written by Dr. Siti Nurbaya   
Friday, 30 September 2011 23:03

Anda sekarang sah mengandung. Ia adalah suatu hal yang besar. Anda harus menerima realiti ini untuk meneruskan kehidupan. Anda harus melakukan apa yang terbaik untuk anda dan bayi anda. Anda harus mengurus diri anda dan bayi anda kerana dunia belum khiamat. Anda harus kuat dan tidak membuat keadaan menjadi lebih buruk. Jika anda seorang Islam, apa yang anda lakukan adalah suatu dosa, akan tetapi ia adalah dosa boleh dimaafkan. Mintalah pengampunan dari Allah. Allah itu Maha Pengampun. Di Malaysia, orang-orang seperti anda akan mendapat bantuan. Jabatan Kebajikan Masyarakat di kawasan anda akan membantu anda melalui kehamilan ini dan membantu anda meneruskan kehidupan. Anda tidak bersendirian. 

Jagalah dirimu

Menggugurkan kandungan adalah haram di Malaysia. Walaubagaimanapun, biasanya orang yang tidak bercadang untuk hamil mengetahui bahawa mereka hamil lewat dalam kehamilan, dan pada ketika itu kandungan tidak boleh digugurkan lagi. Ramai yang meneruskan kehamilan mereka sehingga mereka melahirkan anak. Semua ibu mengandung memerlukan rawatan antenatal iaitu rawatan dan pengawasan semasa mengandung. Ini sangat penting. Ada beberapa keadaan dalam kehamilan yang boleh menyebabkan kematian dan ia boleh dicegah dengan penjagaan antenatal yang baik. Keadaan dalam kehamilan yang boleh menyebabkan kematian adalah seperti berikut:

1. Pendarahan pada awal kehamilan yang biasanya berpunca daripada keguguran
2. Muntah dan kelaparan yang teruk yang boleh menyebabkan koma dan kematian 
3. Sawan yang disebabkan oleh tekanan darah tinggi selama kehamilan 
4. Perdarahan yang berlebihan pada hujung kehamilan yang disebabkan oleh plasenta yang terpisah dari rahim atau perdarahan plasenta rendah 
5. Kesukaran melahirkan anak disebabkan oleh pinggul kecil yang lazim pada ibu muda 
6. Ibu yang hamil mempunyai kecenderungan untuk membentuk gumpalan darah dalam betis mereka. Gumpalan ini boleh pecah dan pergi ke paru-paru dan menyebabkan kematian.

Jika anda hamil, dapatkan rawatan antenatal. Ia mungkin akan menyelamatkan nyawa anda. Sila pergi ke Klinik Kesihatan terdekat untuk mendapatkan rawatan. 

Penjagaan bayi

Bayi anda berhak hidup dan mendapat kehidupan yang baik. Bayi itu tidak bersalah dan anda tidak boleh menghukum bayi itu. Anda telah melakukan kesalahan sekali dan mulai dari sekarang anda akan melakukan yang terbaik. Setelah mendapatkan rawatan antenatal yang baik, anda perlu memutuskan tentang masa depan bayi anda. Kemungkinan-kemungkinan untuk bayi anda adalah sebagai berikut: 

1. Anda yang menjaga bayi itu
2. Seorang ahli keluarga dekat mengambil bayi anda itu sebagai anak angkat.
3. Keluarga yang lain mengambil bayi anda itu sebagai anak angkat.

Keputusan mengenai masa depan bayi seharus dibuat selepas berbincang dengan ahli keluarga terdekat dan kaunselor dari Jabatan Kebajikan Masyarakat. Ini adalah ketikanya kita sebagai masyarakat penyayang boleh memainkan peranan penting. Masyarakat perlu menyokong ibu-ibu muda ini dan tidak meninggalkan mereka untuk menanggung kesusahan ini bersendirian. 

Masa depan anda

Ada ibu muda yang meneruskan pengajian ijazah mereka dalam bidang kejuruteraan selepas melahirkan bayi mereka. Anda boleh meneruskan pelajaran walaupun anda sedang mengandung. Kementerian Pendidikan Malaysia membenarkan anda untuk terus pergi untuk kelas akan memberikan cuti melahirkan anak kepada anda. Namun, kebanyakan ibu-ibu muda berhenti sekolah sebaik sahaja mereka mengetahui mereka hamil kerana mereka tidak tertanggung malu. Tanpa pendidikan, para ibu muda tidak mungkin mendapat pekerjaan yang mempunyai gaji yang baik. Tanpa pekerjaan yang baik, mereka selalunya bergantung kepada duit bulanan dari Jabatan Kebajikan.

Untuk masa depan yang cerah, teruskan belajar. Berjuang untuk hidup anda. Jangan menyerah kalah! 

Ditulis oleh: Dr Siti Nurbaya binti Shahrir pada 2010/03/04 @ 15:34

 

Last Updated on Saturday, 10 November 2012 13:06
 

Penafian

Khidmat SMS ini adalah untuk remaja yang belum berkahwin sahaja. Berjumpa doktor secara bersemuka adalah lebih baik berbanding bertanya secara SMS. Persatuan Kesihatan Remaja Malaysia tidak bertanggungjawab diatas apa-apa kerosakan atau akibat daripada penggunaan perkhidmatan atau maklumat dari laman web POYO di www.poyo.my.

Soalan yang mengganggu dan menghina akan dilaporkan kepada SKMM di aduanskmm@cmc.gov.my